Agama bukan mengkhayalkan orang miskin

View previous topic View next topic Go down

Agama bukan mengkhayalkan orang miskin

Post by Bart 2nd Chance on Fri Jun 13, 2008 5:35 pm

Saya tertarik apabila membaca
kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya
al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil
harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu
tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara
dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.


Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan
mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat
sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu
pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja
bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab:
Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta.

Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi
seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap
mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua
ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika
engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai
tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa
perhiasan, juga baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah
lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat
itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri
kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W (lihat: 'Abd al-Ghani
al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).


Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini
banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan
memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan
penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan
bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.
Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari
cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan
jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti
seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada
makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir
'nasi lemaknya'. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana
dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir
petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan
kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk
mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya
kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka
insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang
pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat.
Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada
yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang
kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah
'ceroi' akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan
tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak
long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya
hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin
bertanya soalan, tapi soalan yang belum 'dijakimkan', "Apakah agama ini
dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang
lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?" Sebelum harga minyak naik,
telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan
dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus
hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.


Pembaziran


Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut
perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan.
Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya,
memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah
mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan
mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): "Dan
berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir
akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan
pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu
adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur
kepada Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27). Demikianlah Allah persaudarakan
pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita
yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan
setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun,
disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan
tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun. Maka, yang patut
mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang
keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan
rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka.
Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan.
Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan
dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada
kekufuran syaitan.


Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita
hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita
ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan
membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan
si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang
hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada
dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah
lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan
yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di
istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan
negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada
sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka,
harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan.
Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang
dimakan oleh 'orang biasa'. Apakah patut pada saat yang sebegini, ada
istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah
patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan
konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan
mereka? Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat. Apakah dalam masa
yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain
golf dan 'berhiburan' dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh
menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran sebegini lebih
rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang
dibelanjakan. Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan
tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk
dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan
bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak
dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis
hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-
galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan
saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma'ruf dan
al-An- Nahy 'an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama
dengan darah para syuhada.


Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di
Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin 'Umar bin al-Khattab.
Dikenali dengan 'Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau
abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang
bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H
selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan
harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping
kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan
pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa 'Umar bin
al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan
daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan
berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya
lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. 'Umar enggan makan
bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal,
sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat
memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?"
(Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu
hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan
kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat
'Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya.
Lalu 'Umar bertanya: "Dari mana diperoleh ini?". Daripada unta yang kita
sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai
pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat
makan yang sisa" (Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar
Sadir). Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja,
atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan
mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya
dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit
untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air,
sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan
negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari
peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui
apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh
negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim!
Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa. Saya kadang- kala begitu hairan
apabila seseorang dianggap 'berjiwa rakyat', hanya kerana makan nasi yang
dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk
beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu
dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat,
rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti 'Umar bin al-Khattab lebih
mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan
manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli
syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada
saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap
rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita
sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau
menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.


Tanggungjawab


Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah
menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang
tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara
pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan
dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion
ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.
Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak
yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si
miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih
berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih
banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah,
sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan
keadaan sekarang? Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap
yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan.
Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali
dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak
kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya
menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan
yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan
secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.


Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara
yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan
menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan
disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk
semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang
bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka
sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai
masalah yang sebenar.


Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin - Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Bart 2nd Chance

Number of posts : 36
Registration date : 2008-01-31

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum