Adab Seorang Tetamu

View previous topic View next topic Go down

Adab Seorang Tetamu

Post by bunga on Wed Jul 09, 2008 11:07 am

Mengintai selepas beri salam dicela

Oleh Hashim Ahmad

Tetamu usah tersinggung apabila tuan rumah suruh pulang

MENGETAHUI adab bertamu yang diajarkan Rasulullah SAW akan membuatkan kedatangan tetamu tidak mengganggu hak tuan rumah sebaliknya menjadi kesenangan kepada mereka untuk memberi layanan sebaiknya.

Adab bertamu yang perlu diberi perhatian sebaik tiba di rumah yang dikunjungi hendaklah memberi salam dan paling banyak ialah tiga kali untuk memberitahu tuan rumah akan kedatangan kita.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Minta izin masuk rumah itu tiga kali, jika diizinkan untuk kamu (masuklah) dan jika tidak maka pulanglah!" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila sudah memberi salam, tetapi tidak ada jawapan, dinasihatkan menangguh kunjungan itu. Ada sesetengah kita kerana sudah terbiasa dengan jiran atau saudara-mara, adab bertamu tidak diberi perhatian, malah menganggap rumah mereka seperti rumah sendiri.

Daripada Kildah ibn al-Hambal, "Aku mendatangi Rasulullah SAW lalu aku masuk ke rumahnya tanpa mengucap salam. Maka Rasulullah bersabda: Keluar dan ulangi lagi dengan mengucapkan 'Assalamualaikum', boleh aku masuk?" (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidz)

Begitu juga jika salam sudah diberi dan dijawab oleh tuan rumah, masih tidak boleh terus menyerbu ke dalam rumah selagi tidak mendapat keizinan atau tidak dijemput bagi menjaga maruah tuan rumah kerana takut masih belum bersedia berjumpa tetamu.

Sahal ibn Sa'ad berkata, Nabi SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya disyariatkan minta izin adalah kerana untuk menjaga pandangan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengetuk pintu atau membunyikan loceng juga perlu dengan cara yang betul bagi memastikan ketukan itu tidak mengganggu hingga menyebabkan timbul rasa marah disebabkan cara ketukan terlalu kuat, keras atau berlebihan.

Hendaknya ketukan itu adalah ketukan sekadar saja, bukan ketukan yang mengganggu seperti ketukan kuat sehingga mengejutkan penghuni rumah.

Keadaan itu pernah diceritakan Anas bin Malik dengan kata: "Kami pada masa Nabi SAW mengetuk pintu dengan kuku-kuku." (Hadis riwayat Bukhari)

Apabila memberi salam, jangan berdiri mengadap pintu atau mengarah terus ke ruang dalam rumah bertujuan memberi peluang tuan rumah mempersiapkan diri sebelum berjumpa dengan tetamu yang datang ke rumah mereka.

Ada kalanya tuan rumah dalam keadaan tergesa-gesa menyahut panggilan untuk memberitahu tetamu bahawa mereka mendengar salam atau ketukan, tetapi masih memastikan diri mereka dalam keadaan sudah bersedia.

Abdullah bin Bisyr berkata, mengenai amalan Rasulullah SAW, "Adalah Rasulullah SAW apabila mendatangi pintu suatu kaum, Baginda tidak menghadapkan wajahnya di depan pintu, tetapi berada di sebelah kanan atau kirinya dan mengucapkan 'Assalamualaikum'," (Hadis riwayat Abu Dawud)

Antara perangai orang yang berkunjung ke rumah seseorang, suka mengintai ke dalam rumah untuk melihat kelibat tuan rumah padahal Rasulullah SAW sangat mencela perbuatan itu dan memberi ancaman kepada pengintip.

Seorang tamu hendaknya tidak tersinggung apabila disuruh pulang kerana hal ini termasuk adab yang penuh hikmah dalam syariat Islam. Di antara hikmahnya adalah demi menjaga hak tuan rumah.

Allah berfirman bermaksud: "Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: kembali (sajalah), maka hendaklah kamu kembali. Itu bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah an-Nuur, ayat 28)

Ibnu Katsir dalam tafsirnya berkata bahawa meminta izin sebelum masuk rumah itu berkenaan dengan penggunaan hak orang lain. Oleh kerana itu, tuan rumah berhak menerima atau menolak tamu yang datang.


source : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20080708222045/Article/index_html

bunga

Number of posts : 555
Registration date : 2008-01-03
Location : bumi yg nyata

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum