Fungsi Masjid

View previous topic View next topic Go down

Fungsi Masjid

Post by wardah15 on Fri Dec 28, 2007 8:51 am

Fungsi masjid sudah kaku?
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

Tumpuan ustaz, warga emas

MASJID adalah institusi tertinggi dan paling mulia dalam Islam, tidak hanya kepada urusan ibadat semata-mata, malah sebagai pusat yang menjana kecemerlangan umat Islam. masjid mempunyai pelbagai fungsi, termasuk hal ehwal kemasyarakatan dan keilmuan.


Di Malaysia, masjid yang didirikan tidak kurang hebatnya. Jika masjid generasi dulu kaya dengan nilai estetikanya seperti Masjid Kampung Laut, masjid alaf baru kini memperlihatkan ciri keindahan yang menggabungkan pelbagai unsur senibina.

Malah, secara keseluruhannya semua masjid mempunyai jawatankuasa masing-masing bagi urusan mentadbir institusi terbabit dan dalam masa yang sama merencanakan pelbagai program untuk kemaslahatan umat.

Semua usaha itu hanya satu matlamat, iaitu mahu memakmurkan masjid, sekali gus menjadikan masjid dekat di hati setiap umat Islam. Tetapi sejauh manakah masjid di negara ini mencapai matlamat yang disasarkan itu?

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dalam komentarnya melahirkan perasaan tidak senang terhadap institusi masjid di negara ini yang dianggap gagal berfungsi dalam pelbagai lapangan.

Beliau menyentuh beberapa aspek, termasuk layanan kurang mesra orang masjid terutama kepada remaja dan kanak-kanak, disusuli bidang keilmuan yang pada pendapatnya masih terikat kepada mata pelajaran tertentu.

“Banyak aktiviti masyarakat Muslim sepatutnya berpusat di masjid. Kempen penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, pembinaan ekonomi Muslim dan sebagainya,” katanya.

Malah, menurutnya, pengisian kuliah di masjid juga mesti ditingkatkan ke tahap sesuai mengikut perkembangan masyarakat, dengan menghindari fekah yang menyusahkan supaya menjadikan Islam itu mudah dan praktikal.

Komentar itu dapat disimpulkan kebanyakan masjid di negara ini gagal berfungsi seperti sepatutnya iaitu aspek ad-din, politik dan kemasyarakatan.

Bagaimanapun, ketika syiar Islam semakin berkembang dan di tengah kerancakan usaha kerajaan merencanakan program pembangunan modal insan, apakah benar masjid kita kaku dan tidak mesra pelanggan?

Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad al-Hafiz, berkata secara umum masjid di negara ini tidak kaku.

“Masjid Negara sendiri ada lebih 900 murid, manakala Masjid Jamek di Bandar Baru Uda, Johor ada pelbagai aktiviti yang sangat baik dan patut dicontohi, termasuk mengadakan program terhadap golongan remaja.

“Di masjid mukim juga banyak aktiviti, malah kadangkala lebih rancak, mengalahkan masjid di bandar dengan jemaah lebih ramai. Macam mana boleh kata masjid kita kaku?

“Bukan saya mengatakan semua masjid itu bagus,” katanya, sambil mengakui memang ada segelintir masjid tidak cemerlang.

Beliau juga menyedari senario dalam masyarakat Melayu, apabila sebut saja masjid ia seolah-olah untuk golongan berusia atau warga emas sehingga menyisihkan remaja dan orang muda.

“Masjid kita ada jemaah, cuma hendak menjadikan masjid itu lebih dekat lagi sebagai tempat berkenalan, beramah mesra dan kerjasama, supaya semua tertumpu ke masjid.

“Barangkali persepsi orang kita masjid untuk orang tua dan ustaz saja, sebab itu orang muda tidak ke masjid. Kata Nabi, orang yang kuat imannya saja ke masjid,” katanya.

Mengambil contoh Masjid Negara, katanya, imarahnya cukup terserlah dengan pelbagai program siang dan malam, malah turut terbuka kepada pelancong yang ingin melihat dari dekat masjid berkenaan, sekali gus merapatkan mereka dengan Islam.

“Pengurusan masjid ada pelbagai cara mengimarahkannya dan kita kena memberikan kerjasama dan semangat,” katanya.

Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin al-Ghari, turut tidak bersetuju mengatakan masjid di negara ini tidak aktif dan mesra pelanggan.

Malah, tegasnya, adalah satu fitnah jika mendakwa institusi yang paling mulia dalam Islam itu sebagai kaku.

“Persoalan atau dakwaan aktif atau sebaliknya tidak sepatutnya dibuat jika tiada angka dan fakta yang jelas. Apa kriteria yang membolehkan masjid dikatakan kaku dan apa pula syarat supaya tidak menjadi kaku?

“Sebelum itu juga kita kena lihat persekitaran masjid itu sendiri, apakah didiami mereka yang ‘kaki masjid’ atau sebaliknya dan menjadi satu kesalahan besar apabila kita mengatakan masjid sedemikian rupa secara umum,” katanya.

Beliau juga menegaskan, ilmu fekah yang susah tidak sepatutnya dihindari, kerana dibimbangi akan melahirkan generasi yang jahil.

“Jika jumpa bahagian ilmu yang susah kita lari, sudah tentu tidak selesai kerana orang tidak akan menguasai ilmu itu.

“Sepatutnya yang susah dipermudahkan dengan pendekatan yang lebih baik dan menghubungkan dengan soal semasa.

“Apabila ambil yang mudah saja, saya bimbang akan lahir generasi jahil dan jadilah masyarakat yang mentadbir agama, bukannya agama mentadbir masyarakat. Nama lagi fekah, iaitu teliti betul-betul dan mendalam,” katanya.

Zamihan berkata, memang jauh untuk membandingkan kemakmuran masjid dan fungsinya yang pelbagai pada masa ini dengan zaman kecemerlangan umat Islam seperti zaman Rasulullah s.a.w dan Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Dulu masjid tidak dikunci tidak mengapa, kerana tiada orang mencuri. Tetapi sekarang lain, cuai sedikit habis wang tabung masjid dilarikan.

“Sebab itu sesetengah zon di masjid dikunci demi menjaga keselamatan, tetapi masih ada ruang lain yang tersedia boleh digunakan sesiapa bertamu untuk menunaikan solat,” katanya, yang turut bersetuju dengan cadangan Dr Mohd Asri supaya mempelbagaikan subjek pengajian di masjid.

INFO
Dalam sejarah Islam, masjid paling utama ialah Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah yang menjadi tumpuan masyarakat Islam seluruh dunia.

Ini diikuti masjid besar yang lain seperti Masjid al-Azhar di Kaherah, yang begitu makmur kerana menjadi pusat penyebaran ilmu.

Banyak lagi masjid lain yang tidak kurang hebatnya, malah ditambah dengan senibina yang mengagumkan, membuatkan banyak pihak jatuh cinta pada sesebuah masjid, sekali gus terpanggil memakmurkannya.

Cadangan mempelbagaikan ilmu seperti subjek sains di masjid boleh diterima setakat seminar sains seminggu atau sebulan sekali tidak mengapa, tetapi jika mahu dijadikan sebagai teras tidak praktikal, sebab apa guna institusi lain seperti sekolah dan institusi pendidikan tinggi.

wardah15
Moderator
Moderator

Number of posts : 79
Registration date : 2007-12-28
Age : 36
Location : PUSJ 3/3

Back to top Go down

View previous topic View next topic Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum